RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy Dr. Radzi Md. Jidin school bully case
Dr. Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membangunkan pelantar digital iaitu Jendela DBP dalam usaha memartabatkan penerbitan bahasa Melayu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pelantar itu merupakan pusat sehentian digital bagi menyebarluaskan maklumat berkaitan bahasa, sastera, penerbitan dan bidang lain termasuklah sains dan teknologi.

Katanya, sehingga kini, lebih setengah juta pengunjung telah melayari pelantar tersebut semenjak mula beroperasi pada Mei lalu.

“DBP giat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan agensi awam menerbitkan judul baharu dalam bentuk bercetak dan digital dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Bagi memperluas khalayak pembaca buku berbahasa Melayu, DBP turut terlibat dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun.

“DBP akan terus melipatgandakan usaha mengadakan program bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Kerajaan dan KPM akan terus menyokong DBP dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya pada sesi jawan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Radzi menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang yang meminta kementerian menyatakan usaha untuk mengangkat peranan dan fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu pada ketika ini.

Terdahulu Radzi berkata, bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, DBP menyediakan Khidmat Pengesahan Bahasa Melayu paparan iklan di tempat awam.

Katanya, dalam tempoh lima tahun ini, DBP telah mengesahkan sebanyak 437,220 iklan telah dibuat.

Malah beliau berkata, DBP juga telah melaksanakan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan dan Audit Bahasa Melayu di kementerian, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Usaha memperluas penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dilaksanakan melalui pelbagai program antaranya, termasuklah program Luar Jendela melalui Radio DBP yang melibatkan pelajar asing yang mengambil jurusan bahasa Melayu di luar negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette