Chong Fat Full melakukan tinjauan  pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di pasaraya Lotus Setia Tropika.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan mencadangkan empat barang diletakkan dalam senarai barangan kawalan bagi membendung kenaikan harga keperluan asas.

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, barangan terbabit melibatkan baja, jagung, kacang soya dan racun.

Cadangan itu dilakukan hasil mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor setelah pihaknya meneliti faktor kenaikan harga barangan keperluan asas sebelum ini

“Kita telah mengenal pasti punca kenaikan barangan keperluan asas inj turut dipengaruhi harga empat barangan disebutkan tadi.

“Saya ibaratkan seperti kadar tukaran mata wang asing. Kita tidak dapat kawal, tetapi apa boleh dikawal ialah barangan masuk ke negara kita, macam kos baja dan seumpamanya.

“Buat masa ini, penguatkuasaan dan pemantauan seluruh rantaian kami akui belum lagi sempurna disebabkan ada barangan di luar kawalan kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di pasaraya Lotus Setia Tropika, di sini, hari ini.

Tambah beliau, cadangan itu akan dikemukakan kepada pihak berwajib secepat mungkin.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak membenarkan perarakan Chingay dan Thaipusam, Fat Full berkata, Johor akur dengan keputusan itu selepas mengambil kira varian baharu Covid-19.

Namun, jelasnya, kerajaan negeri juga terbuka untuk mempertimbangkan sebarang cadangan prosedur operasi standard (SOP) sesuai berhubung perayaan Chingay. – MalaysiaGazette