Amirudin Shari

SHAH ALAM – Sebanyak 312,928 dos atau 156,464 penerima telah menerima manfaat vaksin secara percuma di bawah Program Selangor Vaksin (Selvax Komuniti) setakat 3 Disember 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,572 dos atau 1,786 penerima telah menerima vaksin di bawah Program Selvax Remaja.

“Melalui Selvax, Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan pemberian 250,000 individu atau 50,000 dos melalui Selvax Komuniti.

“Objektif pelaksanaan program vaksin Selangor adalah memastikan kadar imunisasi rakyat dapat dipercepatkan, tanpa mengira latar belakang bangsa, agama mahupun politik,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan jumlah penerima vaksin menerusi Selvax Komuniti itu mengikut keperluan semasa.

“Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan negeri sentiasa mempunyai perancangan bagi menambah bilangan penerima vaksin di bawah program Selvax.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada ketersediaan vaksin dan situasi semasa kewangan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette