PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dirinya telah ‘memalukan negara’ seperti yang disebut oleh Hakim Mahkamah Rayuan pada penghakiman terhadapnya dalam kes penyewelengan dana SRC International hari ini.

Sebaliknya tegas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, beliau sebenarnya antara perdana menteri yang telah meletakkan kepentingan dan keutamaan negara pada semua masa malah telah melonjakkan aset negara dari RM800 juta kepada RM2 trilion sepanjang pentadbirannya.

“Sebenarnya saya sungguh kecewa dengan pernilaian tersebut. Sepanjang pentadbiran negara, sudah banyak perkara yang memberi impak dengan memberi kepentingan negara pada tahap paling tinggi.

“Jadi terma dan pernilaian itu tidak betul. Saya telah membawa terlalu banyak kekayaan kepada negara.

“Jika anda mahu bercakap tentang tindakan memalukan negara, bukankah skandal seperti tukaran wang asing (forex) itu lebih sesuai? Bukankah itu memalukan negara, sehingga kita kerugian lebih RM31 bilion ringgit?

“Bukankah konteks memalukan negara itu jauh lebih tepat untuk skandal seumpama itu sebenarnya? Ini adalah antara contoh yang boleh diberikan,” katanya dalam sidang media melalui aplikasi Zoom hari ini sejurus selepas keputusan rayuan berhubung sabitan terhadapnya ditolak Mahkamah Rayuan.

Dr. Mahathir Mohamad

Dakwaan skandal forex ini dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat perkara itu mendakwa Bank Negara Malaysia telah kerugian RM31.5 bilion daripada tahun 1992 hingga 1994.

RCI itu yang ditubuhkan ketika Najib menjadi Perdana Menteri yang turut membuat ketetapan pada masa itu Tun Mahathir antara yang perlu dipertanggungjawabkan dengan skandal tukaran wang asing tersebut.

Hari ini, Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuan Najib sebelum ini.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh Najib juga merupakan peluang terakhir untuk membatalkan semua sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. –MalaysiaGazette