Mahdzir Khalid

KUALALUMPUR – Malaysia mengambil serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pendemik Covid-19.

“Ini termasuk pengenalan dan latihan kepada penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital, kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Persidangan African-Asian Rural Development Organization (The 20th Conference of AARDO) secara dalam talian, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun.

Persidangan tahunan di peringkat menteri ini diadakan bagi
membincangkan isu-isu pembangunan luar bandar dan hubungan
kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO daripada benua Afrika dan Asia.

Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama tiga tahun mulai 2018 sehingga 2021.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan oleh Menteri ketika itu,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika mempengerusikan Persidangan AARDOKe-19 pada tahun 2018 yang telah diadakan di KualaLumpur.

Selain itu, seramai 2,700 orang peserta telah terlibat dalam aktiviti pembangunan sumber manusia seperti kursus dan latihan, perkongsian pakar dan juga khidmat nasihat.

AARDO juga memperkenalkan latihan secara atas talian selepas wabak Covid-19 melanda dunia.

“AARDO boleh memainkan peranan lebih aktif untuk membantu negara-negara ahli dalam usaha pemulihan pasca Covid19,” kata Mahdzir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast