Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Isu doktor kontrak menjadi perkara yang hangat diperdebatkan pada sesi sebelah pagi sidang Dewan Rakyat hari ini apabila Teo Nie Ching (PH-Kulai) mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) gagal mencapai matlamat dalam menyelesaikan isu tersebut.

Ia susulan daripada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali apabila memaklumkan  unjuran keperluan doktor mengikut rancangan lima tahun yang mana pada tahun 2025, seorang doktor adalah untuk 400 rakyat.

Jawapan Noor Azmi itu telah membuatkan Nie Ching tidak berpuas hati lalu mengasak dengan pelbagai soalan lain berhubung isu berkenaan.

“Saya nak tanya, pada masa sama, kita ada hartal doktor kontrak, yang mana ramai doktor itu tidak dapat kontrak, tidak dapat jawatan mereka.

“KKM gagal untuk mencapai satu matlamat yang ditetapkan pada tahun 2020,” hujah Nie Ching.

Mendengar hujah Nie Ching itu Noor Azmi kemudian membalas secara sinis bahawa beliau sedih melihat Nie Ching bertanyakan soalan, berulang-ulang hingga menyebabkan keresahan dan ‘anxiety’ (kemurungan) kepada ahli Dewan Rakyat yang lain.

“Macam mana nak capai matlamat kalau macam itu. Yang pentingnya kita ada matlamat dan bila kita ada matlamat, kita akan berusaha.

“Seperti mana saya terangkan tadi, kita ada lima perkara yang kita kaji dan perkara ini adalah dinamik, bergantung kepada apa berlaku di hospital, negeri-negeri dan daerah-daerah.

“Kita sudah tetapkan dan sekarang ini rancangan lima tahun, dalam RMK-12, 1 doktor bersamaan 400 penduduk. Jadi sekali lagi saya nak sarankan, yang pentingnya kita ada matlamat dan kita tetap mencari satu matlamat untuk kita usahakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nie Ching tetap tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan hingga menyebabkan beliau bingkas bangun untuk mencelah.

“Matlamat tidak dicapai, itu masalahnya. Buat apa kita ada matlamat tetapi tiada langkah untuk pastikan kita capai matlamat tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, ketegangan itu akhirnya reda selepas Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) bangun dan bertanya soalan tambahan kepada Noor Azmi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast