Ras Adiba
Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi menyelar tindakan biadap satu video yang memaparkan kedua-dua pemuda yang berpura-pura berlakon sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) semata-mata untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk golongan itu di sebuah pusat beli-belah.

Ras Adiba yang merupakan Presiden Persatuan OKU Sentral turut memberi amaran dengan mendesak agar mereka memohon maaf di atas perbuatan mereka.

“Saya ingin memberi amaran kepada saudara Iswan dan juga Ajim. Kalian telah mempersendakan dengan menggunakan parking OKU dan berlakon diri anda sebagai OKU.

“Saya mohon supaya kalian berdua meminta maaf kepada semua komuniti OKU di negara kita. Sudahlah kami susah, kamu semua selalu memandang rendah kami, dan menggunakan kemudahan yang disediakan khas untuk kami.

“Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermainkan dan mempersendakan kami. Sila mohon maaf kepada OKU,” tegas Ras Adiba menerusi video yang dikongsi di laman sosial miliknya hari ini.

Temubual Malaysia Gazette bersama Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi di Damansara Perdana, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JUN 2020

Hari ini, tular sebuah video yang tular menunjukkan seorang pemuda berpura-pura berlakon sebagai OKU semata-mata untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk golongan itu di sebuah pusat beli-belah.

Menerusi video berdurasi 37 saat yang kini tular, pemuda berkenaan berjalan umpama individu tidak normal dan melakukan pergerakan tangan dan kaki seperti orang cacat.

Seorang lagi pemuda yang merupakan rakannya mendakwa berada di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur dan dikatakan sukar untuk memarkir kereta.

“Nak parking susah, tapi Ajim cakap kalau nak parking ada satu cara, betul-betul dapat parking, tapi cara dia pelik sikitlah

“Betul-betul dia jadi cacat. Ini kalau kantoi dengan pak guard memang ‘mati’, tapi dapat parking. Tengok kereta hitam aku ni, betul-betul dapat parking. Terima kasih Ajim.

“Lepas ni kalau aku naik KL, aku dah tahu dah. Bawa Ajim memang selamat,” katanya.

Bagaimanapun, video tersebut dipadamkan selepas menerima kecaman netizen yang menyifatkan tindakan tersebut seperti menghina OKU. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast