Saravanan menandatangani plug ketika Majlis Pelancaran Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di Pasir Gudang, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Imej negara di peringkat antarabangsa telah tercalar akibat sikap majikan yang tidak menjaga kebajikan pekerja-pekerja asing yang diambil bekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mendedahkan ada kilang yang mengeluarkan sarung tangan, pulangannya berbilion-bilion tetapi keluasan tempat tidur pekerjanya sebesar keranda dua tingkat.

“Cuba bayangkan. Inilah sikap segelintir majikan yang tidak peduli, tidak jaga kebajikan pekerjanya.

“Malah saya dapat tahu ada majikan yang memegang pasport pekerja mereka. Sikap mereka sebegini akhirnya menyebabkan reputasi Malaysia terjejas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di Pasir Gudang, di sini hari ini.

Susulan itu, Saravanan berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memantau kebajikan pekerja asing terutama pekerja domestik dari Indonesia dalam masa terdekat.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan hasil daripada pertemuan dengan rakan sejawatnya Ida Fauziyah di Indonesia baru-baru ini.

Katanya, penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan Malaysia serius membawa masuk pekerja Indonesia sebelum kedua-dua negara melakukan perjanjian.

“Kita sememangnya serius membawa pekerja Indonesia masuk ke negara ini dan atas sebab itu jugalah Malaysia bersama Indonesia akan melakukan memorandum persefahaman (MoU) Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada Januari tahun depan.

Tambahnya, dengan adanya jawatankuasa ini, pekerja-pekerja asing boleh membuat aduan terus di Working for Workers (WFW) yang dijadikan platform untuk menyalurkan aduan isu-isu buruh menerusi  aplikasi mudah alih.

Mengulas mengenai gaji minimum yang diminta Kerajaan Indonesia sebanyak RM1,500 sebulan, Saravanan berkata, Malaysia telah menetapkan gaji bagi pekerja Indonesia ialah RM1,200 sebulan.

Seandainya jumlah itu dinaikkan kepada RM1,500 sebulan sudah pasti akan menimbulkan masalah.

”Saya tidak boleh menetapkan gaji minima RM1,500 sebulan kerana di Malaysia masih mengguna pakai skim gaji minimum RM1,200 sebulan. Namun saya bersetuju gaji pekerja Indonesia ini bermula dari RM1,200 sebulan.

”Jika majikan sanggup beri RM1,500 sebulan itu antara majikan dan agensi,” tambahnya.

Saravanan berkata, sekiranya MoU itu dipersetujui kedua-dua negara, dijangka seramai 5,000 hingga 10,000 pekerja dari negara itu akan dibawa masuk.

“Sekiranya MoU PDI ini dipersetujui dan dimetera kedua-dua negara pada Januari tahun depan dijangka seramai 5,000 hingga 10,000 ribu pekerja domestik dari Indonesia akan dibawa masuk ke negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette