KUALA LUMPUR – Bukan menjadi kesalahan kepada mahasiswa untuk melontarkan pandangan kritis dan kritikal terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Cuma pesan beliau, yang penting, setiap perkara yang dikatakan mestilah mempunyai fakta.
”Saya sangat teruja bila melangkah ke dalam dewan melihat wajah – wajah ceria anak muda dalam dewan ini, mengimbau kembali memori ketika saya bergelar mahasiswa
di Universiti Malaya.
”Ketika itu saya juga seperti saudara saudari semua, sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti
di universiti. Saya pernah mengetuai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada 1982/83.
”Apabila pemimpin pelajar bertemu dengan saya, salah satu soalan yang ditanya bolehkah kami bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, saya jawab boleh dan tidak salah,” katanya selepas melancarkan inisiatif Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ini di buktikan apabila meluluskan Undi 18.
”Kita benarkan golongan ini untuk menetukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara.
”Ramai yang tidak yakin dan skeptikal terhadap keputusan kerajaan dalam hal itu kerana dianggap mereka masih terlalu mentah untuk
menentukan pemimpin negara.
”Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin,” tambah beliau.
Sehubungan itu bermula 1 Januari 2022 semua anak muda yang berumur 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi Insya-Allah. Apabila PRU diadakan kerajaan akan pastikan mereka boleh mengundi,” tambah beliau.
Dalam majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
”Menjadi harapan saya agar pusat ini nanti berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu, dalam kalangan warga Malaysia.
”Saya sangat optimis, dengan kreativiti, inovasi serta kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengkayaan Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette