Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan tugas untuk mengambil tujuh orang warga asing yang disyaki positif Covid-19 untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang telah sembuh kini mencecah 2,586,822 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 5,427 kes sembuh dilaporkan pada hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 5,446 kes kes positif baharu direkodkan hari ini, yang mana 20 merupakan kes import,

“Kes tempatan adalah 5,426 kes. Daripada 5,446 kes harian yang dilaporkan pada hari ini; 88 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 5,358 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, 419 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain 232 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 147 kes disahkan Covid-19 ; 85 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jumlah kluster baharu dilihat kembali meningkat kepada dua angka apabila 17 kluster direkodkan pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat 5,768 kluster dan kluster aktif adalah 254,” tambah Noor Hisham. – MalaysiaGazette