Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Jabatan Insolvensi Malaysia bertujuan untuk membankrapkan seseorang individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, sebaliknya agensi kerajaan ituĀ berperanan untuk mentadbir hal ehwal kes-kes kebankrapan serta hal ehwal seseorang yang bankrap.

“Seseorang individu hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui perintah mahkamah apabila petisyen difailkan sama ada melalui permohonan daripada pemiutang (Petisyen Pemiutang) atau permohonan sendiri secara sukarela oleh penghutang (Petisyen Penghutang).

“Sehubungan itu, sebarang pertikaian antara penghutang dan pemiutang yang melibatkan tuntutan hutang yang membawa kepada tindakan kebankrapan adalah bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Insolvensi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Junaidi, penularan Covid-19 telah menjejaskan kedudukan kewangan seseorang individu dan berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia jumlah kes kebankrapan yang direkodkan dari Mac 2020 hingga Oktober 2021 adalah sebanyak 11,207 kes.

“Dengan pecahan yang dicatatkan, sebanyak 6,344 kes didaftarkan pada bulan Mac hingga Disember 2020 manakala bagi awal tahun ini hingga Oktober lalu adalah 4,863 kes didaftarkan.

“Melihat kepada situasi semasa, individu kerap diisytiharkan bankrap berpunca daripada pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan.

“Tidak dinafikan masyarakat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup atau terpengaruh dengan trend terkini yang menyebabkan perbelanjaan di luar kemampuan,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Wan Junaidi, berdasarkan perbandingan empat tahun ke belakang terdapat penurunan bilangan kes kebankrapan yang didaftarkan pada setiap tahun.

Pada 2017 sebanyak 18,227 kes didaftarkan diikuti 2018 (16,482 kes), 2019 (12,051 kes) dan 2020 (8,351 kes) yang mana terdapat beberapa faktor yang perlu diambil berikutan penuruan kes kebankrapan semasa pandemik Covid-19.

“Antaranya adalah moratorium oleh kerajaan, pengoperasian mahkamah hanya bagi kes jenayah sahaja secara fizikal, perubahan ambang keberhutangan bagi kes kebankrapan yang telah ditingkatkan ke RM100,000 bermula 23 Oktober 2020.

“Selain itu, tindakan kebankrapan telah berlaku dalam tempoh enam bulan sebelum pemfailan Petisyen Kebankrapan dimana hutang telah sedia tertunggak sebelum pendemik Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Junaidi berharap apabila seseorang telah dijatuhkan Perintah Kebankrapan, mereka diminta segera hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia dan memberikan kerjasama bagi melicinkan pentadbiran kes kebankrapan. – MalaysiaGazette.