Antara barang rampasan yang berjaya dirampas dalam tangkapan penjenayah kes samun 7-Eleven dan kes ragut beg silang ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang baru dua minggu keluar dari penjara diberkas kerana disyaki meragut beg silang seorang warga emas di Taman Taman Connaught, Cheras, di sini, pada Isnin lalu.

Suspek yang mempunyai 25 rekod jenayah lampau, termasuk dua kes dadah, kecundang di tangan polis ketika cuba melarikan diri selepas menyamun wanita berusia 65 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima satu laporan berkenaan kes jenayah ragut beg silang berdekatan Taman Connaught pada pukul 11.54 pagi, Isnin lalu.

“Semasa mangsa berjalan kaki seorang diri sendirian pada jam 10.15 pagi hari yang sama, secara tiba-tiba seorang lelaki tempatan yang menaiki motosikal dari arah belakang telah meragut beg silang mangsa dan seterusnya berjaya melarikan diri.

“Mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden ragut itu,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, di sini, hari ini.

Turut bersama dalam sidang media Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamad Idzam Jaafar.

Menurut Yahaya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9) IPD Cheras yang kebetulan sedang melakukan pemantauan cegah jenayah di kawasan berkenaan telah melihat kejadian ragut itu.

Seterusnya, kata beliau pihak polis telah berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri bersama dengan beg silang yang diragut daripada mangsa.

“Pihak polis juga telah berjaya merampas sebilah pisau pemotong kertas daripada suspek tersebut.

“Hasil semakan mendapati suspek berumur 29 tahun dan memiliki 25 rekod kesalahan jenayah serta dua daripadanya rekod dadah lampau.

“Justeru siasatan lanjut suspek baru tidak sampai dua minggu telah keluar selepas menjalani hukuman penjara dan kembali aktif dalam kegiatan samun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan.

Suspek turut dibenarkan oleh mahkamah untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 7 Disember sehingga 13 Disember ini untuk melengkapkan kertas siasatan, katanya.

Menurut Yahaya, kertas siasatan seterusnya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette