Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman menunjukkan barang rampasan yang berjaya dirampas dalam tangkapan penjenayah kes samun 7-Eleven dan kes ragut beg silang ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki bergiat aktif menyamun dengan mensasarkan kedai serbaneka di sekitar daerah Cheras dicekup polis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, suspek lelaki tempatan berusia 55 tahun ditangkap di kawasan perumahan Taman Bukit Segar, Cheras, di sini, kira-kira  jam 5.45 petang Isnin lalu.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kes samun hanya mensasarkan kedai serbaneka 7-Eleven Batu 3 Cheras. Anggaran kerugian adalah sebanyak RM3,832.30,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun.

Menurut Yahaya, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sebuah beg pinggang, dua helai seluar, sehelai baju, sehelai jaket, 20 kotak rokok pelbagai jenama, dua buah topi keledar, sebuah telefon bimbit, sepasang kasut dan sebilah pisau.

“Pihak polis juga telah merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR1 berwarna merah-hitam yang dipercayai telah digunakan oleh suspek semasa kejadian samun itu.

“Suspek turut dilibatkan dalam ujian saringan awal air kencing terhadap sebelum disahkan positif dadah Amphetamine dan Methaphetamine,” ujarnya.

Yahaya berkata, semakan rekod jenayah ke atas suspek mendapati dia memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah.

Katanya, suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan dan telah dibenarkan oleh mahkamah untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 13 Disember ini untuk membantu polis melengkapkan siasatan.

Jelas beliau, hasil tangkapan suspek membantu polis menyelesaikan tiga kes samun kedai 7-Eleven di sekitar Cheras. – MalaysiaGazette