KUALA LUMPUR – Polis memburu pemandu kereta yang memandu melawan arus di Jalan Bukit Rotan, Kuala Selangor yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi laman sosial Facebook pada pukul 4.05 petang.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sekitar pukul 2.09 petang, 6 Disember lalu. Kes itu bagaimanapun masih sedang disiasat polis. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ramli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis terdekat.

Terdahulu tular, video berdurasi 21 saat sejak kelmarin memaparkan tindakan pemandu sebuah kereta Proton Saga melawan arus dan pemandu kereta lain sempat mengelak daripada terlanggar kereta berkenaan.- MalaysiaGazette