Ali Biju Krian state assembly Sarawak state election polls
Ali Biju

KUALA LUMPUR – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Keputusan itu diambil beliau selepas akur dengan keputusan partinya, Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan tiada bertanding pada PRN Sarawak.

“Saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini (bertanding) akan menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara Perikatan Nasional dan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Pengerusi GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, keputusan untuk bertanding sebelum ini dilakukan setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi DUN N.39 Krian untuk mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih semenjak tahun 2011, dukungan dan sokongan yang padu ini telah memperkukuh tekad saya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

“Saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon Dun N.39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN N.39 Krian, DUN N.38 Kalaka, dan DUN N.40 Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen P.205 Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Saratok.

Semalam, Abang Johari melahirkan rasa  kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu yang bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian.

Menurutnya, Ali telah melanggar perjanjian Bersatu yang memberi jaminan parti itu tidak akan terbabit dalam PRN Sarawak.

Ali yang merupakan penyandang kerusi DUN Krian menang ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton. – MalaysiaGazette