Ahmad Maslan Barisan Nasional BN candidates Melaka state election
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO berharap keputusan rayuan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana ramai beranggapan beberapa tokoh yang dituduh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 adalah bermotifkan politik.

“UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan mengenai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang yang diadakan semalam.

Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan salah ke atas Najib berhubung kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak.

Berikutan itu, Najib mengarahkan pasukan penguambelanya memfailkan rayuan kes ke Mahkamah Persekutuan dengan segera.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan  hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib terhadap kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International. – MalaysiaGazette