Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) bimbang jika kerajaan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2024), penduduk asal akan tertindas dan menjadikan mereka orang asing di tanah kelahiran sendiri.

Ahli Jawatankuasanya, Faiz Fadzil berkata, modus operandi daripada pelan itu juga dilihat lebih menguntung pemaju berbanding penduduk asal Kampung Baru.

Justeru, beliau menggesa kerajaan segera kembali ke drawing board berkaitan isu pembangunan Kampung Baru, terutama kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

“Asas PIPKB 2040 ini mirip dengan pelan induk diumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015.

“Kedua-dua pelan ini mengetengahkan konsep retail arrangement di mana pemilik tanah terpaksa berbincang terus dengan bakal pemaju.

“Ini bukannya mudah terutama bagi pemilik tanah yang sudah berusia dan tidak berkemahiran dalam perundingan hartanah,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Menurut Faiz, secara hakikatnya, kaedah PIPKB 2040 itu boleh menyebabkan pemilik tanah di Kampung Baru menerima harga lebih rendah untuk tanah mereka kerana kuasa tawar menawar pemilik individu akan menjadi terhad.

Bukan itu sahaja, katanya, proses rundingan untuk plot tanah di Kampung Baru juga akan menjadi panjang dan rumit kerana melibatkan banyak pemilik seterusnya melengahkan pembangunan kawasan itu.

“Masalah ini hanya dapat diatasi jika kerajaan mengguna pakai pelan strategik pembangunan Kampung Baru yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Dalam pelan itu, kerajaan akan membeli tanah berkaitan dan seterusnya berunding dengan pemaju. Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan pembangunan Kampung Baru malah menjanjikan pampasan yang baik kepada pemilik tanah,” katanya.

Kata beliau, kerajaan PH sebelum ini menawarkan harga RM1,000 satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 dalam bentuk saham.

Selain itu, tambahan tawaran lain adalah potongan harga 15 peratus bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak, sekali gus memastikan mereka diberikan pampasan adil tanpa kehilangan hak untuk terus kekal tinggal di situ.

“Alasan kerajaan, pelan PH tidak dapat dilaksanakan kerana hanya mendapat persetujuan 61 peratus pemilik tanah adalah tidak munasabah.

“Pembangunan terancang masih dapat dijalankan menggunakan tanah pemilik yang telah memberi persetujuan.

“Keberkesanan kaedah ini turut dipersetujui Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, pengerusi firma penilai hartanah terkenal Rahim & Co International dalam satu wawancara sebelum ini,” ujarnya.

Faiz turut menggesa lebih telus dalam perancangan pembangunan Kampung Baru dengan membentangkan laporan penilaian harga tanah kepada masyarakat umum.

Selain itu, katanya, perincian mengenai jenis pembangunan akan datang di Kampung Baru, nisbah plot tanah atau ketumpatan penduduk yang dibenarkan juga harus dibentangkan secara terbuka.

“Dengan adanya maklumat seperti ini, pemilik tanah dapat menentukan sama ada pampasan yang ditawarkan bagi setiap kaki persegi adalah adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast