Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersesi gambar bersama ahli ADUN Perak selepas selesai membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan NegeriPerak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Bajet yang merangkumi peruntukan berjumlah RM1.1 bilion oleh kerajaan Perak hari ini disifatkan sebagai belanjawan inklusif dan mampan buat rakyat negeri itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed, walaupun kekangan kewangan yang dihadapi negara masa ini ekoran pandemik Covid-19 namun kerajaan negeri dilihat berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Perkataan mampan itu amat bersesuaian dengan bajet yang telah dibentangkan di mana dengan kekangan kewangan yang ada masih lagi kita beri tumpuan kepada pembangunan sara diri, kesejahteraan rakyat dan persediaan infrastruktur dan pembangunan untuk kemajuan negeri.

“Maksud mampan itu sendiri bagaimana kita mengurus tadbir untuk kegunaan masa kini dan dalam masa yang sama kita tidak lupa perancangan masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

ADUN Temengor, Salbiah Mohamed. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

Bagi ADUN BUkit Chandan, Maslin Sham Razman pula, biar pun terdapat pengurangan dalam bajet kali ini namun ia masih dilihat usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi rakyat.

ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

“Memang ada pengurangan sedikit daripada bajet kita tahun lalu, tetapi memandangkan kita mengalami pandemik di mana ramai yang terkesan terutamanya di luar bandar walaupun kita menghadapi pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan ketika ini, namum kerajaan tidak mengabaikan dari segi pembangunan yang telah ditetapkan.

“Kerajaan negeri masih terus ingin memperkasakan rakyat khususnya dari sudut keusahawanan yang begitu terkesan akibat pandemik Covid-19,” ulas Maslin.

ADUN Trong, Jamilah Zakaria bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

Nada sama turut dizahirkan ADUN Trong, Jamilah Zakaria.

Katanya, biar pun bajet kali ini nampak agak kecil namun ia wajar melihat kepada pendapatan negeri yang dijangka pada kadar RM1.06 bilion pada tahun depan.

“Saya mengharapkan walaupun bajet yang tidak popular tapi bagaimana jumlah itu diturunkan kebawah sampai ke golongan memerlukan. Kita ada kekangan Covid-19 dan terpaksa mengurangkan sedikit berdasarkan kepada pendapatan.

“Bajet ini sangat sesuai kerana ia memfokuskan berkenaan dengan memperkasakan usahawan di Perak yang memang terjejas dan kalau kita lihat dari segi pendidikan juga diberikan perhatian,” demikian menurut Jamilah.

ADUN Slim River, Mohd Zaidi Aziz bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

Bagi ADUN Slim, Mohd Zaidi Aziz pula, bajet yang dibentangkan hari ini lebih fokus kepada semua rakyat Perak.

Katanya, walaupun bajet kali ini bajet defisit namun beliau yakin ia mampu dikurangkan dalam masa setahun.

“Bajet yang dibentangkan ini adalah bajet yang lebih berfokus, mampan dan inklusif kepada semua warga Perak, walaupun dinyataan bahawa ada defisit RM50 juta tapi saya yakin kemampuan yang dilihat semala setahun oleh Menteri Besar mampu untuk mengurangkan defisit yang sebelum ini.

“Dengan anggaran yang dibuat defisit itu tidak nampak ada masalah dari segi pengalaman yang telah ada untuk memacu pembangunan negeri Perak,” katanya.

MalaysiaGazette turut mendapatkan pandangan daripada pihak pembangkang mengenai peruntukan RM1.1 bilion kerajaan negeri untuk perbelanjaan tahun hadapan.

ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

Menurut ADUN Pasir Pinji, Howard Lee daripada DAP, beliau terkilan dengan peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan yang digabungkan dengan sekolah kebangsaan.

“Secara makro sesuatu perlu saya tegur dan juga ada sesuatu yang agak bagi saya perlu sedikit penjelasan, tadi kita dengar apa yang dibentangkan oleh Menteri Besar mengenai peruntukan kepada sekolah-sekolah. Diumumkan RM4.5 juta kepada sekolah kebangsaan, sekolah menenagah kebangsaan, SRJKC, SRJKT, dan sekolah mubaligh.

“Kita tidak menolak tetapi kalau kita kaji balik bajet sebelum ini, hanya kepada SRJKC, SRJKT dan sekolah mubaligh dan SMJKT sendiri pun sudah lebih daripada peruntukan itu, tapi kali ini RM4.5 juta merangkumi peruntukan kepada sekolah kebangsaan juga,” katanya.

Dalam bajet 2022, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memperuntukkan RM4.5 juta untuk bantuan per kapita kepada hampir 450 ribu pelajar Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, SJKC, SJKT, SMJKC, Sekolah Mubaligh dan Sekolah SUWA.

Awal hari ini, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion dengan RM803 juta daripadanya disalurkan untuk belanja mengurus manakala RM302 juta lagi untuk belanja pembangunan.

Saarani juga berkata, belanjawan itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.06 bilion.

Untuk rekod, belanja mengurus terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekslan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta, serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bajet Perak 2022 cerminan komitmen kerajaan negeri – MB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast