KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong & runcit Malaysia melantun semula 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021, mencapai paras tertinggi yang pernah direkodkan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam perdagangan borong & runcit disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.4 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM55.8 bilion pada Oktober 2021.

Perdagangan runcit juga berkembang 5.1 peratus RM2.3 bilion kepada RM46.5 bilion.

Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor kembali positif dengan 10.2 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM14.2 bilion, selepas beberapa siri pertumbuhan negatif dua digit sejak Jun 2021.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong & runcit meningkat 7.7 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan juga kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober 2021.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, beliau berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan borong sebanyak 4.4 peratus pada Oktober 2021 disokong oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang meningkat 10.6 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM11.2 bilion diikuti oleh lain-lain pengkhususan jualan borong dengan 5.1 peratus untuk mencatatkan RM22.1 bilion.

Jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup juga meningkat 13.1 peratus kepada RM4.7 bilion, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi.

Untuk perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 5.3 peratus.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 5.1 peratus disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan peningkatan 8.2 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM17.2 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut mencatat pertumbuhan positif ialah jualan runcit bahan api kenderaan 17.8 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau 8.7 peratus, jualan runcit barangan isi rumah 3.8 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau rasar 28.6 peratus, jualan runcit barangan kesenian & rekreasi 4.8 peratus, jualan runcit kelengkapan informasi & komunikasi 0.6 peratus dan jualan runcit di gerai & pasar 11.4 peratus.

Walau bagaimanapun, jualan runcit di kedai pengkhususan masih negatif untuk bulan kelima berturut-turut dengan -3.9 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit meningkat 4.8 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif.

Mohd Uzir Mahidin menambah, pertumbuhan 10.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat semula 25.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM9.1 bilion.

Ini diikuti oleh jualan penyelenggaraan & pembaikan motosikal dengan 1.2 peratus untuk mencatatkan RM1.1 bilion.

Sebaliknya, jualan alat ganti & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor terus mencatatkan pertumbuhan negatif masing-masing -12.3 peratus dan -11.9 peratus.

Pada asas sebulan, jualan subsektor ini meningkat 31.2 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan 40.2 peratus.

Indeks jualan runcit melalui Internet merekodkan pertumbuhan 24.6 peratus tahun ke tahun (September 2021: 18.1 peratus).

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini meningkat 0.6 peratus berbanding bulan sebelum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast