Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daikbercakap kepada media selepas Program Urban Cafe Special Session yang bertajuk ÔBetter Cities, Better LifeÕ ke Arah Malaysia Yang Berdaya Huni sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penggunaan taman rekreasi dan persekitaran hijau semulajadi di dalam kawasan perbandaran di negara ini meningkat lebih empat kali ganda selepas negara memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik berkata, peningkatan itu ketara dapat dilihat selepas negara kembali pulih daripada pandemik Covid-19 selepas memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Jumlah pengunjung Taman Persekutuan Bukit Kiara tahun lalu mencatatkan 218,832 orang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac hingga Disember 2021 kerana taman ditutup.

“Bagaimanapun penggunaan taman meningkat secara ketara pada 2021 berbanding 2020 iaitu sebanyak 682,272 atau 287.10 peratus.

“Ini menunjukkan taman menjadi ruang rekreasi utama masyarakat pasca pandemik Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Antara aktiviti yang dijalankan pada Program Urban Cafe Special Session yang bertajuk ÔBetter Cities, Better LifeÕ ke Arah Malaysia Yang Berdaya Huni sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

Menurutnya, peningkatan mendadak itu berlaku selepas pandemik Covid-19 di mana kawasan hijau dan landskap memberi ruang kepada penghuni bandar untuk berekreasi demi kesihatan dan keselesaan akibat keterbatasan pergerakan ketika tempoh PKP.

“Sebelum pandemik, penggunaan taman meningkat sebanyak 38,544 pengunjung atau 5.27 peratus dari 731,232 orang pada 2018 kepada 769,776 orang pada 2019.

“Ini menunjukkan terdapat peningkatan jumlah penggunaan taman hasil daripada perbandingan data 2018 dan 2019.

“Dari segi berdaya huni, sesebuah bandar itu penting untuk kita pastikan pada masa ini dan akan datang mempunyai kawasan hijau, kawasan landskap dan kawasan semulajadi untuk digunakan oleh penghuni bandar,” katanya.

Jelasnya, tidak hairan jika Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar hijau keempat di Asia Selatan yang mempunyai kawasan hijau dan landskap yang tinggi.

“Kita ucapkan tahniah kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana berupaya merancang dan mengekalkan kawasan-kawasan hijau yang terdapat di Kuala Lumpur.

“Diharapkan agar kawasan landskap yang mewujudkan dihubungkan antara satu kawasan dengan lain secara laluan pejalan kaki dan laluan basikal yang lebih menarik dapat diwujudkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya lagi, dengan mengekalkan kawasan hijau dan landskap di dalam bandar mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya huni.

“Dalam usaha menjadikan Malaysia lebih Berdaya Huni dalam perspektif negara, Jabatan Landskap Negara telah mengadakan beberapa program, antaranya program untuk mengetengahkan keadaan semula jadi di dalam perbandaran tersebut.

“Untuk mengekalkan perbandaran yang semula jadi, usaha-usaha perlu dibuat di peringkat perancangan, salah satunya pengekalan landskap semulajadi di samping mengetengahkan usaha-usaha untuk meningkatkan struktur ekonomi dan sosial di bandar tersebut.

“Kita mengajak semua pihak yang terlibat dalam pembangunan perbandaran dan pengguna mempunyai kefahaman mewujudkan landskap semulajadi, kawasan hijau dan kawasan rekreasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast