KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat video tular yang memaparkan insiden buli melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash berkata, beliau telah mengarahkan polis Kuala Kangsar supaya melakukan siasatan kejadian tersebut.

Bercakap kepada media di Ipoh, katanya, beliau baru menerima video tular itu pagi tadi dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

“Kadang-kadang, kejadian berlaku sudah lama, tetapi, ditularkan semula, apa pun saya belum dapat beri pengesahan, biar kita siasat dan dapat kesahihan dahulu,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kampar dan Pengerusi PERKEP Daerah Kampar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar hari ini.

Video berdurasi 10 saat itu menunjukkan seorang pelajar ditumbuk di bahagian perut sambil disaksikan beberapa pelajar lain. – MalaysiaGazette