Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM)  tidak merancang untuk melanjutkan tawaran diskaun saman selepas  penganjuran 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)  berakhir.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, setakat semalam, PDRM berjaya mengutip bayaran  saman berjumlah RM13.6 juta sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Jumlah tersebut daripada pembayaran 287,500 saman pelbagai jenis yang diterima daripada kaunter PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kaunter trafik seluruh negara.

Dalam pada itu, katanya, PDRM akur dengan arahan penutupan kaunter bayaran saman di KLCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula petang ini.

“Bagaimanapun orang ramai masih boleh membayar saman dengan potongan sehingga 80 peratus sehingg Ahad ini di kaunter trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

“Penutupan kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya ketika ditemui di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, hari ini.

Ujar beliau, orang ramai juga masih boleh menggunakan aplikasi Mybayar Saman untuk membayar tunggakan saman secara dalam talian.

“Memang ada berlaku masalah untuk akses ketika waktu puncak namun orang ramai diminta bersabar dan terus menggunakan aplikasi itu sebagai alternatif pembayaran,” tambah beliau.

Tawaran diskaun sama sehingga 80 peratus oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM bermula 9 hingga 12 Disember ini sempena Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia.

Hari ini KKM mengarahkan penutupan kaunter dibuat kerana kegagalan penganjur memantau dan mengawal kemasukan orang ramai ke program berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan.

KKM juga mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) kerana gagal mengendalikan majlis itu mengikut SOP yang ditetapkan.-MalaysiaGazette