KUALA LUMPUR – Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun layak dinikmati oleh ibu bapa dan ibu bapa angkat yang menyimpan dalam akaun Simpan SSPN untuk manfaat anak-anak mereka.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan menjelaskan, faedah tersebut juga dinikmati oleh penjaga yang sah dari segi undang-undang.

Pelepasan taksiran dibuat berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa mengikut kategori kelayakan seperti berikut:

• Taksiran Berasingan: Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 SEORANG setahun.

• Taksiran Bersama: Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000
setahun.

Bagaimanapun Individu yang menyimpan untuk diri sendiri tidak layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan.

Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan diberikan berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa, iaitu simpanan yang telah ditolak pengeluaran.

Pendeposit boleh menyemak atau mencetak penyata ringkasan akaun Simpan SSPN di portal rasmi PTPTN.

Timbul tanda tanya sama ada sama ada pendeposit yang mempunyai kedua-dua akaun iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus boleh menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan sebanyak RM15,000.

Menurut PTPTN, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih bagi Simpan SSPN Plus dan Simpan SSPN Prime hanya diberikan sehingga RM8,000.

Bagaimanapun bagi akaun Simpan SSPN Plus, pendeposit boleh menikmati tambahan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas sumbangan takaful yang dibayar kepada pengendali takaful sebanyak RM7,000 di bawah kategori pelepasan bagi insurans nyawa dan KWSP.

Rebut peluang pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 yang akan berakhir pada 31 Disember 2021.

Masih ada masa lagi, jadi layari www.lovesspn.com untuk pembukaan atau penambahan
akaun. – MalaysiaGazette