Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tiga sayap parti UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara mula bersidang di peringkat bahagian hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam perutusannya berkata, tiga sayap UMNO itu merupakan tunjang kekuatan parti.

Katanya, kesetiaan mereka tidak pernah berbelah bahagi ketika parti dalam keadaan senang mahupun susah.

“Saya ucapkan selamat bersidang dan jadikanlah persidangan kali ini sebagai suatu wacana kesatuan fikiran yang paling utuh pernah disaksikan.

“Kerana persidangan kali ini sangat penting demi masa depan parti keramat agama, bangsa dan negara.

“Perkukuhkan kemuafakatan, perkuatkan keyakinan, perkasakan iltizam demi UMNO gemilang dan terus terbilang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Pada 30 September lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun 2021 dilaksanakan bermula Oktober.

Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

Persidangan UMNO Cawangan bermula 15 hingga 30 November lalu, diikuti tiga sayap pada 11 dan 12 Disember, perwakilan bahagian 18 Disember dan PAU 2021 pada 13 hingga 15 Januari tahun depan.

PAU 2021 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.

Ahmad Zahid menyeru semua kepimpinan dan ahli bahawa tiada apa yang mampu melemahkan kekuatan dan kesatuan UMNO selagi mereka berpegang teguh kepada kebenaran dan ketulusan.

“Berdoalah agar persidangan kali ini mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah SWT dan patuhi segala SOP ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette