Tiada perbezaan kemurungan antara lelaki dan wanita, - Gambar hiasan.

BARU-baru ini tular di media sosial berkenaan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022 meluahkan rasa tertekan dengan sistem
pembelajaran terutamanya apabila membincangkan isu jadual peperiksaan SPM yang
dikatakan tidak masuk akal dan hanya menambah tekanan kepada para pelajar.

Apa yang menyedihkan adalah apabila pelajar meluahkan perasaan akibat tekanan yang dihadapi ini, banyak komen-komen berbaur negatif diterima daripada netizen. Isu tekanan yang melibatkan kemurungan ini bukanlah perkara baru dan asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Statistik Kemurungan dan Masalah Kesihatan Mental

Secara keseluruhannya, laporan dari World Health Organization (WHO) menunjukkan
kemurungan merupakan isu kesihatan global yang menjadi polemik masa kini dengan angka lebih dari 300 juta penderita di seluruh dunia dan angka tersebut terus meningkat.

WHO juga menganggarkan seorang daripada empat orang remaja dan kanak-kanak mengalami masalah mental. Di Malaysia pula, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2019, mendapati seramai 424,000 orang dari golongan kanak-kanak dan remaja (7.9 peratus) mengalami masalah kesihatan mental.

Separuh daripada masalah gangguan mental ini bermula seawal usia 14 tahun
dan tiga per empat daripadanya berlaku pada pertengahan usia. Manakala, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) pula melaporkan bahawa jumlah kes bunuh diri di Malaysia dari Januari
2019 hingga Mei 2021 ialah sebanyak 1708 kes. Daripada jumlah tersebut, golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun yang membunuh diri ialah sebanyak 872 kes.

Berdasarkan kajian terdahulu, jantina memainkan peranan penting dalam menentukan
tahap kesihatan mental seseorang sekali gus pelajar perempuan dinyatakan memiliki tahap kesihatan mental yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki. Dalam konteks Malaysia, lelaki dikatakan lebih tertekan berbanding perempuan dari sudut psikologi kerana budaya tempatan yang menetapkan lelaki perlu kuat dan tidak boleh lemah.

Sikap memendam perasaan dengan tidak berkongsi masalah yang dihadapi ditambah sifat maskulin seperti menjaga keegoan untuk kelihatan lebih ‘macho’ berbanding perempuan menambah lagi tekanan dalam diri golongan remaja lelaki.

Perempuan juga dikenali dengan sikap suka bercerita, berkongsi dan mendapatkan sokongan daripada orang sekeliling dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi. Namun begitu, kajian terkini berkaitan tahap tekanan yang dijalankan oleh penyelidik di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam kalangan pelajar universiti mendapati bahawa tiada perbezaan ketara di antara lelaki dan perempuan secara keseluruhannya. Hal ini kerana, tahap tekanan perlu diukur dan ditelusuri dengan lebih mendalam, dari pelbagai sudut tertentu.

Antara perkara yang perlu diambil berat adalah tahap kesukaran subjek pelajaran setiap pelajar, tahun pengajian, aspek kesihatan psikologi dan tubuh badan, harapan diri dan keluarga, serta sistem sokongan sedia ada seperti keluarga, sahabat, pasangan dan komuniti.

Gejala Kemurungan

Kemurungan adalah perkara serius dan tidak boleh dibuat-buat. Hal ini kerana, terdapat
simptom yang jelas untuk membezakannya. Kemurungan yang didiagnosis secara klinikal,
bukanlah perasaan sedih yang biasa. Ia merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih yang berpanjangan serta menjejaskan fungsi kehidupan harian seseorang.

Kemurungan adalah diagnosis yang dibuat oleh pegawai perubatan psikiatrik berdasarkan
kriteria yang terdapat di dalam DSM V (Diagnostic and Statistical Manual of Mental
Disorder V), di mana manual ini telah menyatakan antara tanda-tanda kemurungan
termasuklah:
1. Kesedihan atau “kekosongan” perasaan yang berpanjangan
2. Hilang minat atau kegembiraan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya
mendatangkan keseronokan
3. Cepat rasa letih dan tidak bertenaga
4. Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
5. Perasaan bersalah
6. Rasa diri tidak berguna
7. Gangguan tidur seperti sukar tidur, tidur yang terganggu atau berlebihan tidur
8. Hilang selera makan dan penurunan berat badan
9. “Rasa lebih baik mati”, kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri
10. Rasa tidak tenteram dan mudah marah
11. Kurang daya tumpuan dan ingatan serta sukar membuat keputusan
12. Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman
13. Pergerakan menjadi terhad, kaku atau mudah resah & gelisah

Bahkan, sekiranya mereka yang didapati murung ini akan mengalami sekurang-kurangnya 5 gejala yang dinyatakan berikut dan gejala ini berlanjutan dalam tempoh 2 minggu berturut-turut.

Faktor Pendorong kepada Kemurungan

Faktor yang mendorong remaja untuk mengalami masalah kemurungan boleh dibahagikan kepada empat faktor iaitu:

1) Faktor genetik
Sekiranya, remaja memiliki sejarah keluarga yang mempunyai masalah kemurungan, ia boleh menambah risiko remaja tersebut untuk mengalami masalah kemurungan.

2) Faktor pembelajaran
Beban akademik yang banyak boleh mengundang kepada tekanan dalam kalangan remaja.

Bahkan, Pandemik Covid-19 yang berlaku dilihat memburukkan lagi tekanan akademik
yang dialami oleh pelajar. Selepas beberapa semester menjalani pembelajaran dan
pengajaran (PdP) secara dalam talian tanpa memberi ruang pelajar kembali ke sekolah/kampus sepenuhnya untuk mengikuti kelas secara bersemuka, ia sedikit
sebanyak telah menyumbang kepada tekanan. Tempoh masa yang tidak pasti untuk melalui situasi belajar dalam talian menambah lagi kerisauan dan tekanan para pelajar.

Kerisauan tentang masa hadapan disebabkan kemungkinan kelewatan menamatkan pengajian menjadi antara faktor kepada tekanan pelajar. Tambahan itu, terdapat pelbagai faktor lain yang dikesan menyumbang kepada tekanan pelajar antaranya gangguan kepada mendapatkan capaian talian internet yang stabil, limitasi penggunaan kuota internet, kekangan kewangan untuk menyediakan peranti yang bersesuaian untuk PdP dan kaedah pelaksanaan PdP yang membebankan dan kurang menarik.

3) Faktor Tekanan Hidup
Faktor kemiskinan dan tekanan hidup yang berpanjangan boleh menyebabkan remaja
mengalami masalah kemurungan. Misalnya beban bekerja untuk menyara keluarga,
keperluan seharian yang tidak mencukupi dan masalah kewangan.

Rata-rata, masalah kemiskinan mewujudkan kekangan kepada remaja tersebut untuk mendapatkan fasiliti serta kemudahan untuk pembelajaran dengan mudah. Terdapat pelajar yang terpaksa melakukan pekerjaan sambilan yang turut menambahkan lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

4) Faktor Peribadi

Faktor peribadi merangkumi aspek diri dan keluarga remaja itu sendiri. Remaja yang berada dalam keluarga yang mengalami pergolakan seperti keganasan rumahtangga, penyalahgunaan dadah, perceraian dan sebagainya mampu menjadi faktor pendorong untuk remaja mengalami kemurungan.

Selain itu, konsep kendiri remaja yang rendah juga turut menyebabkan remaja
mudah mendapat kemurungan. Konsep kendiri membantu keseimbangan mereka dalam
mengawal emosi dan motivasi diri untuk memahami fasa kesulitan yang berlaku.

Tambahan dari itu, faktor luaran seperti perbandingan sosial (social comparison) di platform media sosial juga mempengaruhi tahap kesihatan mental remaja.

Hapuskan Stigma

Perkara yang paling penting apabila kita membincangkan isu berkaitan kemurungan atau
masalah kesihatan mental ini adalah isu stigma. Hapuskan stigma yang membelenggu
masalah mental sebagai gila, buruk, kurang iman dan tidak boleh dirawat.

Masyarakat perlu sedar, sesiapa sahaja boleh mengalami masalah mental tidak kira usia atau latarbelakang dan status. Malah, masalah mental juga bukanlah petanda kepada kelemahan diri seseorang.

Pada masa yang sama, ibu bapa, guru-guru dan rakan harus memberi sokongan dengan
menghulurkan bantuan kepada pelajar yang mengalaminya. Akronim ‘LAH’ amat sinonim
dengan situasi ini iaitu L merujuk kepada Listen (mendengar), A adalah Ask (bertanya) dan H pula adalah Help (membantu). Sistem sokongan yang terbentuk ini dapat menjadi
penampan kepada masalah yang dialami.

Justeru, ibu bapa dan guru haruslah mendengar permasalahan remaja dengan bertanyakan apa yang mereka perlukan dan seterusnya membantu menyelesaikan permasalahan tersebut.

Selain stigma, tidak dinafikan faktor kerisauan terhadap kecaman yang akan diterima boleh menjadi faktor mengapa ramai remaja yang mengambil langkah untuk berdiam diri daripada meluahkan perasaan. Hal ini kerana, ejekan atau kecaman yang diterima dapat diibaratkan sebagai hukuman (punishment) yang memalukan dan boleh membuat remaja berasa tidak berharga dan serba kekurangan.

Setiap remaja adalah unik maka individu sekeliling sewajarnya lebih bersikap terbuka dengan pendapat mahupun luahan yang dilontarkan.

Individu sekeliling terutamanya ibu bapa dan guru-guru sepatutnya menggantikan ‘hukuman’ ini dengan pengukuhan positif (positive reinforcement) kerana ia akan membuatkan remaja lebih didengari dan dihargai. Seterusnya dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh mereka.

Implikasi Kemurungan kepada Anak-anak

Terdapat pelbagai implikasi masalah kemurungan dari segi psikologi terhadap proses
pembesaran dan perkembangan remaja sekiranya masalah ini tidak ditangani dari awal.
Antaranya adalah remaja akan cenderung mengalami gangguan dalam fungsi kehidupan
seperti proses pembelajaran dan jalinan perhubungan dengan ahli keluarga yang lain, rakan-rakan atau guru-guru. Remaja yang mengalami masalah ini akan menjadi kurang fokus dalam pelajaran, sentiasa bersikap pesimis, mudah putus asa, sukar membuat keputusan serta berasa gelisah yang akhirnya akan membawa kepada penurunan prestasi pembelajaran.

Remaja ini juga akan cenderung untuk mendiamkan diri dan mengelak dari berkomunikasi dengan ibu bapa, guru-guru atau rakan-rakan mereka. Di samping itu, remaja ini juga terdedah kepada masalah gangguan tingkah laku yang serius seperti buli, tingkah laku langsang seperti gangsterisme, isu seksual dan pelbagai masalah sosial yang lain.

Lebih parah apabila ada juga dalam kalangan mereka yang berhadapan dengan kemelut penyalahgunaan bahan terlarang seperti merokok, mengambil minuman keras, dan dadah. Sekiranya masalah ini berlarutan dan tidak menemui jalan penyelesaian, remaja turut berkemungkinan mencederakan diri sendiri dan juga terdedah kepada cubaan membunuh diri.

Tuntasnya, masalah mental ini sebenarnya boleh dirawat. Namun begitu, ibu bapa dan para guru haruslah memainkan peranan penting mereka dalam menghidu masalah ini.Jangan biarkan keadaan menjadi parah.

Sekiranya ibu bapa dan guru merasakan terdapat limitasi untuk membantu pelajar berkaitan isu kemurungan ini dan merasakan situasi tersebut di luar keupayaan mereka, ibu bapa dan guru haruslah segera mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai profesional seperti kaunselor berdaftar, ahli psikologi atau pakar psikiatri. Anak- anak kita merupakan permata negara yang akan menentukan masa hadapan negara. Justeru, wajarlah aspek kesejahteraan mental dalam kalangan anak-anak ini dipandang serius oleh kita semua.

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).