Covid-19 cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,399 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan untuk tempoh 24 jam hingga pukul 12 tengah hari tadi.

Berikutan itu, jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut kini seramai 2,601,908 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 407 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 341 kes disahkan positif Covid-19 manakala 66 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 216 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 135 kes positif Covid-19 sementara 81 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (3,490 kes) sebanyak 69 kes atau 2 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 3,421 kes (98 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan kes import manakala 3,476 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 3,322 warganegara dan tiga bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak dua kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,037 kluster.

Katanya, sejumlah 5,794 kluster telah ditamatkan manakala 243 kluster masih lagi aktif.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.97.

Jelasnya, Perlis merekodkan nilai Rt pada kadar 1.05, Putrajaya (1.03) manakala Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan kadar 1.02.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia selain memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan – MalaysiaGazette