Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua kiri) ketika melawat Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR -Tempoh pengurangan kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 80 peratus yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelanjutan itu bertujuan memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk menyelesaikan saman trafik yang tertunggak dengan diskaun sama.

Menurut beliau, orang ramai boleh berbuat demikian dengan mengunjungi kaunter bayaran saman trafik ibu pejabat polis daerah dan ibu pejabat polis kontinjen, selain portal serta aplikasi MyBayar Saman.

“PDRM telah memutuskan untuk memberi peluang kepada semua masyarakat untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka dengan diskaun sama sehingga 31 Disember ini.

“Dan seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, orang ramai boleh jelaskan saman mereka dengan pergi ke semua kaunter trafik di seluruh negara yang kita buka.

“Tujuan kita berikan masa sehingga 31 Disember ini (adalah) untuk memberi masa supaya orang ramai tidak berkerumun atau menyerbu kaunter-kaunter trafik sekali gus mengurangkan kesesakan,” katanya pada sidang media selepas sesi walkabout sempena hari terakhir Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, bermula 9 Disember sehingga tengah hari ini, hampir 2.3 juta saman trafik di seluruh negara berjaya dikutip dengan jumlah keseluruhan berjumlah kira-kira RM109 juta.

“Ini menunjukkan bahawa sebenarnya orang ramai berhasrat untuk menyelesaikan semua kes-kes mereka jika diberi peluang kerana kita sedia maklum, sejak dua tahun lalu semua lapisan masyarakat di negara ini menghadapi tekanan ekoran daripada pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian tentu sekali ia memberi impak kepada pendapatan, justeru pemberian diskaun ini semata-mata untuk kita bersama-sama membantu mengurangkan impak ekonomi kepada rakyat.

“Namun ia tidak boleh dilihat untuk kita sewenang-wenangnya mengambil ringan terhadap keperluan untuk mematuhi peraturan lalu lintas,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PDRM akan membuka lebih banyak kaunter trafik bagi melancarkan proses pembayaran saman, Acryl Sani berkata, ia bergantung kepada keperluan sesebuah daerah itu.

“Saya akan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk lihat kemungkinan (kalau) daerah itu berlaku kesesakan kerana pengunjung yang ramai, kaunter pula terhad jadi kita akan berusaha menambah kaunter yang dibuka,” katanya.

Kelmarin, JSPT Kuala Lumpur dalam satu kenyataan mengumumkan penutupan kaunter pembayaran saman di KLCC bagi memastikan tiada kesesakan berlaku dalam kalangan pengunjung yang berhasrat membayar saman sempena diskaun 80 peratus. – MalaysiaGazette