ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Seorang pengurus kanan sebuah syarikat insurans menjadi mangsa Love Scam apabila beliau kerugian lebih RM500,000 kepada suspek yang dikenali beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada awal Oktober lalu, pengadu wanita tempatan berumur 40 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki warganegara asing melalui nombor telefon antarabangsa.

“Dalam tempoh perkenalan tersebut, suspek telah memberi link aplikasi untuk mangsa memuat turun yang merupakan aplikasi pelaburan bitcoin.

“Mangsa telah memuat turun aplikasi yang dikongsi oleh kenalan warga asing tersebut dan telah memindahkan wang ke dalam aplikasi tersebut.

“Mangsa telah diperdaya oleh warga asing kenalan itu dengan memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke dalam satu akaun yang diberi oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil daripada itu mangsa memperolehi keuntungan sebanyak RM800.

Terpedaya dengan taktik licik suspek tanpa menyedari penipuan, mangsa sejak dari hari itu mula yakin dengan apa yang dikatakan oleh suspek dan telah memasukkan wang ke lapan akaun yang berbeza membabitkan 31 transaksi kewangan.

“Jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan mangsa ke dalam akaun yang dikongsi suspek adalah berjumlah RM648,800.

“Mangsa mula rasa curiga apabila kesemua wang pelaburannya tidak lagi memperolehi keuntungan yang dijangkakan dan menyedari sebenarnya tertipu dengan suspek dan kehilangan kesemua wang tersebut.

“Oleh demikian, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis sahabat alam maya ini.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.-MalaysiaGazette