Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Isu pengambilan tanah lot dan flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, bagi pembangunan semula akan diperhalusi melalui sidang Kamar Khas, Dewan Rakyat, petang ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, ia akan berlangsung pada jam 2.30 petang bagi meneliti isu kepentingan pemilik tanah dan tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) di kawasan ‘segi tiga emas’ itu.

Pada 8 Disember lalu, usul berkenaan telah dikemukakan bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) dan ia memenuhi tiga syarat utama.

“Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh majlis mensyuarat saya sebagai Yang Dipertua berpuas hati bahawa perkara yang dibangkit itu memenuhi tiga syarat iaitu merangkumi elemen perkara tertentu; bagi kepentingan orang ramai; dan perlu disegerakan.

“Saya meneliti semua prasyarat ini dan mendapati ia memenuhi syarat serta perlu disegerakan. Justeru usul saya membenarkan usul ini dirundingkan di Kamar Khas pada jam 2.30 petang nanti,” katanya selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Khalid mempertikaikan tindakan kerajaan dalam pengambilan tanah di Kampung Baru dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).

Katanya, pemilik tanah telah diberikan notis siasatan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta melalui satu proses siasatan hingga diberikan tekanan menerusi akta undang-undang. – MalaysiaGazette.