Ahmad Zahid Hamidi

 

KUALA LUMPUR – Lanjutan tempoh penberian diskaun 80 peratus saman trafik sehingga akhir bulan ini menunjukkan kerajaan sedar bahawa ekonomi rakyat masih terjejas.

“Itulah yang kita harapkan daripada kerajaan supaya realistik tentang situasi sebenar negara,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau pada Jumaat lalu mencadangkan tempoh diskaun itu dilanjutkan berkata, permintaannya itu supaya memberi keadilan kepada seluruh rakyat.

Cadangan itu dibuat selepas orang ramai merungut kerana sukar akses portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai terpaksa ke kaunter bayaran trafik kerana tempoh diskaun sehingga 15 Disember sahaja.

Ekoran daripada itu PDRM melanjutkan tempoh pemberian diskaun saman trafik sehingga 31 Disember ini.

”Ada yang khuatir pemberian diskaun ini akan membuatkan pengguna jalan raya tidak serik melakukan kesalahan trafik.

”Namun kita menyokong objektifnya kali ini iaitu bagi mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette