Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Mata wang kripto seperti Bitcoin disifatkan sebagai desentralisasi  dan sukar untuk menetapkan satu bentuk kawalan sekuriti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai satu tempat untuk pemusatan kawalan bagi mata wang kripto kerana ia adalah terbuka.

“Berkenaan mata wang kripto, Bitcoin dan sebagainya ini amat susah untuk kita menetapkan satu bentuk kawalan memandangkan sifatnya adalalah desentralisasi dan kita tidak mempunyai satu tempat untuk pemusatan kawalan bagi mata wang kripto sebab ia adalah terbuka dan dalam dunia ini ada banyak. Ini (mata wang kripto) satu bentuk pelaburan yang baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung pendirian kerajaan berkenaan keperluan kawalan sekuriti mata wang kripto agar masyarakat tidak terjebak dengan penipuan yang akhirnya bukan sahaja tidak meningkatkan pemilikan ekuiti masyarakat tetapi merugikan wang mereka.

Eddin Syazlee berkata, bagaimanapun kerajaan mempunyai platform yang mengawal secara khusus dagangan berkaitan mata wang kripto melalui Suruhanjaya Sekuriti yang telah pun mengiktiraf, mengklasifikasikan mata wang kripto sebagai salah satu daripada bentuk sekuriti yang antara lain untuk memberi bimbingan kepada pelabur-pelabur supaya lebih memahami risiko dan bentuk pelaburan berkaitan kripto.

“Untuk membuat sesuatu undang-undang khusus, itu amat sukar disebabkan oleh kawalan khusus ini tidak dapat dibuat memandangkan sifat kripto ini sebagai desentralisasi,” katanya.  – MalaysiaGazette