Mayat pekerja kelab hiburan yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah. Foto: Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja sebuah kelab hiburan menikam pahanya beberapa kali ketika dia minum arak bersama rakan sekerjanya selepas waktu kerja sebelum rebah dan tidak sedar diri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis pada jam lebih kurang 3.57 pagi tadi menerima makluman daripada orang awam berkenaan seorang lelaki terbaring dalam keadaan cedera dan tidak sedar diri di kelab hiburan di Taman Usahawan Kepong, di sini.

“Bertindak atas maklumat, polis telah bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun terbaring di atas lantai dalam kelab itu dengan berlumuran darah.

“Mangsa tidak memakai baju, hanya berseluar jeans panjang dan berkasut telah mati di tempat kejadian selain terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian paha sebelah kanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan polis di lokasi mendapati mangsa merupakan pekerja di kelab hiburan terbabit.

Ujarnya, pada kira-kira jam 12 tengah malam setelah premis itu menamakan operasinya, mangsa bersama dua rakannya meminum minuman keras di dalam premis itu.

“Setelah memeriksa Kamera Litar Tertutup (CCTv) milik premis berkenaan yang diperolehi polis mendapati agak mengejutkan apabila sekitar jam 3.04 pagi tadi, si mati telah mengambil sebilah pisau di dalam premis itu dan tetiba menikam diri sendiri di paha kanannya beberapa kali dan tidak lama kemudian rebah dengan darah berlumuran di atas lantai.

“Dua rakan yang minum bersamanya yang langsung tidak menjangkakan insiden yang berlaku dalam sekelip mata itu segera menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan bagi menyelamatkan rakan mereka yang sudah tidak bernyawa.

“Mayat si mati telah dihantar kepada Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya,” ujarnya.

Menurut Eng Lai, kertas siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Secara Mengejut (SDR) dan siasatan awal polis mendapati kematian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat punca yang mendorong mangsa bertindak sedemikian sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kes itu boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau ke Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999. – MalaysiaGazette