Foto: Media sosial Labuan

LABUAN – Polis Labuan hari ini menahan 10 lelaki selepas berlakunya kejadian rusuhan yang melibatkan penyokong dan pemain ketika satu perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Labuan di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Labuan, DSP Mohd Ibrahim Ghani berkata, kesemua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada satu perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.

Beliau berkata, lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga esok.

“Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku…rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati dengan kekasaran berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan, dengan beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Bernama