MUMBAI , India – Seorang wanita telah ditahan polis selepas disyaki memukul dan memaksa pembantu rumah bawah umur menanggalkan pakaian dan berbogel kerana lewat menyiapkan kerja rumah.
Menurut kenyataan mangsa perempuan berusia 17 tahun itu, tuan rumah berkenaan bertindak keji merakamkan gambar dan video bogelnya menggunakan telefon bimbit.
Mangsa juga dipukul berulangkali dengan selipar kerana berang kerja rumah tidak disiapkan tepat pada waktu.
Menurut pegawai polis, insiden itu menimpa mangsa pada petang Isnin lalu dan berterusan sehingga lewat malam menyebabkan mangsa trauma mental dan fizikal.
“Siasatan awal polis mendapati, akibat kelewatan bekerja, wanita (suspek) berusia 24 tahun itu mula menyeksa kanak-kanak bawah umur itu.
“Kejadian itu mengakibatkan gadis yang cedera parah di kepala itu lari menyelamatkan diri dari rumah suspek,” kata polis.
Mangsa telah dibawa ke hospital oleh salah seorang saudaranya.
Laporan polis telah dibuat selepas mangsa menceritakan detik-detik pahit yang dialaminya ketika bekerja di rumah majikannya.
Polis telah memfailkan laporan pertama maklumat ke atas majikan sebelum suspek wanita itu berjaya ditangkap pada 8 Disember lalu.
“Suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 326, 354 (b), Seksyen 504 Kanun Keseksaan India dan di bawah Akta Penderaan dan Seksual Kanak-kanak (POCSO),” kata polis lagi.
Suspek wanita itu dikatakan sering mengembara dari New Delhi dan Mumbai dan menyedari mangsa seorang gadis bawah umur tetapi tidak bimbang untuk mengupah mangsa sebagai pembantu rumah dan menyeksanya.
Mangsa dalam laporan polisnya turut mendedahkan dia telah diserang oleh suspek beberapa kali sebelum ini di rumahnya yang terletak di kompleks perumahan Andheri West Mumbai.- India Today