Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mematahkan aktiviti melombong bitcoin yang menggunakan tenaga elektrik secara haram di Perindustrian Taman Berjaya Skudai, di sini,dalam operasi yang dilakukan awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati premis berkenaan tidak berdaftar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan membuat penyambungan terus dengan kotak TNB untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Semakan turut mendapati, premis berkenaan mencatatkan kerugian 141,632 kilowatt jam (KWJ) sebulan yang menjadikan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM220,521 dalam tempoh tiga bulan lalu,” katanya dalam satu hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan yang dilakukan bersama pasukan Seal TNB pada jam 2 pagi, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai penyelia premis selain merampas 170 buah mesin melombong bitcoin.

Menurut Ayob Khan, kegiatan melombong bitcoin di premis itu dipercayai melibatkan penggunaan pelbagai rangkaian komputer super.

Katanya, sindiket itu mencuri bekalan elektrik kerana tidak mahu membayar bil yang mahal kerana sistem perlombongan bitcoin menggunakan tenaga elektrik yang tinggi.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB, ujarnya.

Tambah Ayob Khan, Seal TNB mendapati terdapat bukti kesalahan di bawah Seksyen 37(1), Seksyen 37(3) dan Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 dilakukan oleh sindiket tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast