PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Polis telah merakam percakapan seorang lelaki yang dipercayai menunjukkan aksi sebagai seorang marsyal dengan mengarahkan kenderaan lain ke tepi dan berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi kereta di lampu isyarat Pekan Sitiawan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP, Chong Boo Khim berkata, keterangan itu diambil berikutan laporan polis dibuat kira-kira pukul 2.29 petang tadi selepas insiden konvoi melibatkan beberapa kenderaan yang datang dari arah Seri Manjung hala Tokong India itu tular menerusi laman sosial Facebook.

“Susulan itu, lelaki berusia 29 tahun itu telah dirakam percakapan dan polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu berjalur kuning,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas lelaki yang bekerja sebagai pemandu berkenaan mendapati dia negatif dadah dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

Terdahulu, kejadian dipercayai melibatkan beberapa kenderaan itu tular di laman sosial Facebook menggunakan nama Jusshairi Jauhhari dengan tajuk ‘Seperti polis mengarahkan kenderaan lain ke tepi dan berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi mereka’. – Bernama