Peguam, Zeti Zulkifli (tengah) bersama anak guamnya, Nurwati Hussin (kanan) selepas selesai proses lelongan aset usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang disita di Selangor Polo Residency, Kota Damansara. Foto FAREEZ FADZIL, 14 DISEMBER 2021.

PETALING JAYA – Seorang lelaki berjaya membida barangan milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nur Sajat pada harga RM132,000 di kediamannya di Jalan Polo, Damansara, di sini, hari ini.

Peguam Zeti Zulkifli dari NHA Advocates & Solicitors yang mewakili OWA Resources Sdn. Bhd. berkata, bidaan yang dibuka pada harga RM77,650 sebelum berakhir pada RM132,000.

“Lapan orang bida, lebih daripada sepuluh kali bidaan dan akhirnya kita berjaya tetapkan harga terakhir pada nilai RM132,000 dengan seorang pembida,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, pembida perlu meletakkan deposit sebanyak RM5,000 sebagai pendaftaran sebelum dibenarkan masuk untuk memeriksa barangan di dalam rumah.

Tambah Zeti, barangan yang dilelong merupakan kelengkapan rumah yang terdiri daripada set sofa, pendingin hawa, meja makan, piano yang dianggarkan bernilai RM40,000 selain set bilik tidur dan sebahagian perkakas dapur berjaya dibida seorang lelaki dikenali sebagai Che Muhammad Syazwan.

“Hampir 40 barangan kesemuanya berjaya dilelong hari ini yang dijual secara keseluruhan, tak boleh beli asing-asing, jadi akhirnya seorang pembida yang berjaya dimiliki iaitu Che Muhammad Syazwan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, semua barangan yang dilelong hari ini perlu dikeluarkan serta-merta, seperti arahan mahkamah.

Sementara itu, Zeti tidak menafikan untuk mengambil langkah seterusnya apabila nilai lelongan itu masih belum mencukupi untuk membayar baki wang pampasan yang gagal dilunaskan Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan harta Muhammad Sajjad disita dan mengeluarkan perisytiharan jualan lelongan awam bagi menuntut pampasan berjumlah RM200,000 yang perlu dibayar kepada bekas stokis utamanya. – MalaysiaGazette