Wakil Gegar Malaysia, Zainurizzaman Moharam (tiga kanan) menyerahkan salinan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggesa kerajaan membahaskan isu Digital Nasional Berhad (DNB) dalam persidang Dewan Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang mempersoalkan mengapa sebuah syarikat tujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB) perlu dilantik sebagai ‘orang tengah’ dalam penyediaan infrastruktur 5G.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain mempunyai dasar yang tidak jelas, kos berkaitan DNB juga dilihat tidak menentu dan tidak teratur.

“Ini cadangan kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi untuk menubuhkan DNB bagi memperkenalkan sistem 5G tetapi kos nya sekarang mungkin RM15 bilion, RM18 bilion atau RM20 bilion, kita tidak tahu berapa sebenarnya.

“Kita juga sudah kemukakan hujah mengapa perlu ada satu badan khas sebagai orang tengah untuk sampai kepada Apple atau Microsoft contohnya, yang (sebenarnya) boleh ditembusi secara langsung.

“Keduanya adalah kos, ketiganya adalah syarikat mana yang dipilih, keluarga siapa, kroni siapa? Selagi ia tidak telus ia akan dibimbangi akan menjadi satu lagi (skandal) 1MDB (1 Malaysia Development Berhad),” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima salinan memorandum berkaitan DNB daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gegar Malaysia, Zainurizzaman Moharam yang menggesa supaya ahli-ahli Parlimen membahaskan isu terbabit berikutan dikhuatiri bakal menjadi satu lagi skandal kepada negara.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu berkenaan juga telah pun dikemukakan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz namun ia tidak dijawab.

“(Untuk) bahas memang terbatas, kita kemukakan kepada Menteri Kewangan tiada jawapan (sementara) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pula jawab tidak tahu, Tan Sri Muhyiddin pula (kata) ia telah dibentangkan tetapi tiada maklumat terperinci bagaimana satu projek yang mungkin mencecah RM20 bilion tetapi kita tidak tahu dan kita tak dapat pertahankan dari segi rasionalnya sekarang?

“Kemudian kata (5G) nak buat di bandar jadi orang yang berada di kampung dan di pedalaman Sabah dan Sarawak nak tunggu sampai bila? Sudah lah 4G pun tak dapat jadi sekarang ini (kalau) dilihat semua dasar memihak kepada golongan kaya dan kuota untuk orang kaya tapi tidak orang miskin, B40 atau miskin bandar.

“Sebab itu Parlimen dan rakyat mesti bangkit, tak boleh biar elit kerajaan ini menentukan kepentingan mereka,” ujarnya.

Wakil Gegar Malaysia, Zainurizzaman Moharam (dua kiri) serta yang lain memegang plakad sebagai tanda menggesa kerajaan membahaskan isu Digital Nasional Berhad (DNB) dalam persidangan Dewan Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2021.

Sementara itu, Zainurizzaman berkata, pihaknya mewakili suara rakyat di negara ini melahirkan rasa bimbang terhadap kerajaan berikutan pelantikan DNB yang didakwa berupaya menjadi sebuah lagi skandal 1MDB.

Jelas Zainurizzaman, menerusi memorandum yang diserahkan kepada Anwar dan wakil KKMM, pihaknya menuntut empat perkara kepada kerajaan berkaitan isu tersebut.

“Kita gesa supaya DNB yang telah ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan perlu dikaji semula oleh Parlimen kerana penubuhannya telah dilakukan semasa Ordinan Darurat sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Selain itu, kita mahu penilaian dijalankan secara terperinci terutamanya impak terhadap kesihatan, alam sekitar dan sosial perlu dilakukan dengan segera dan laporan tersebut adalah terbuka untuk diakses oleh orang awam.

“Kita juga mahu supaya kos sebenar bagi pembangunan infrastruktur teknologi 5G dan kos penubuhan DNB dibentangkan di Parlimen terutamanya apabila rakyat sedang kesusahan akibat peningkatan harga barang,” katanya.

Tambah Zainurizzaman lagi, mereka juga menuntut kementerian berkaitan mengambil tanggungjawab membuat penyebaran maklumat secara telus dan menyeluruh termasuk perbincangan terperinci dengan pihak berkepentingan, pemain utama industri dan orang ramai bagi mengelak sebarang ketirisan berlaku bagi pembangunan infrastruktur 5G seluruh negara. – MalaysiaGazette