Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama penyokong selepas hadir ke mahkamah bagi pendengaran semakan kehakiman berkaitan status pendaftaran parti MUDA di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Peguam MUDA, Lim Wei Jiet berkata, mahkamah turut menolak alasan yang diberikan pihak kerajaan sebelum ini yang parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu prejudis kepada keselamatan negara.

“Apa yang berlaku hari ini mahkamah telah berpihak kepada MUDA, mahkamah telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk mendaftarkan parti MUDA dalam masa 14 hari.

“Mahkamah berpendapat alasan Menteri Dalam Negeri bahawa prejudis kepada keselamatan negara adalah tidak berasas.

“Kami berterima kasih kepada mahkamah dan berharap kerajaan tidak merayu keputusan ini dengan membenarkan MUDA didaftarkan.

“Ia agar demokrasi dan perjuangan anak muda di Malaysia dapat diteruskan dan subur di Malaysia,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas hadir ke mahkamah bagi pendengaran semakan kehakiman berkaitan status pendaftaran parti MUDA di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2021.

Sebelum ini, Syed Sadiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu dan 12 yang lain mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang menolak rayuan pendaftaran parti MUDA pada 21 September lalu.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq dan 12 yang lain untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan RoS pada 21 September lalu.

Mereka memohon perisytiharan permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan mematuhi keperluan Akta Pertubuhan 1966.

Mereka memohon suatu perintah mandamus supaya kedua-dua responden mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, pemohon memohon antaranya perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai kemudian serta relif lain difikirkan wajar oleh mahkamah. – MalaysiaGazette