Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini telah mengarahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada tahun 2014.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat ketetapan itu  bagi pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter Anthony kelihatan tenang ketika keputusan tersebut pagi ini.

Azura turut menetapkan 3 hingga 7 Januari 2022 untuk tertuduh membela diri.

Peter, 50, didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor UMS kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) milik tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati menggunakan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) berkenaan tidak diberikan kepada Asli Jati milik Peter sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.

Bagaimanapun, satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 kemudian dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenaran Naib Canselor yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.

Sebelum ini pendakwaan pernah berhujah, Peter telah melakukan tipu daya terhadap saksi-saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan yang membawa kepada kesalahan di bawah Sesyen 468 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Mohd. Shukur Mohd. Din (SP3), Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8) dan Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9).

Hujah pendakwaan, dalam kes ini tertuduh telah mendapat keuntungan secara salah apabila projek itu diberikan kepada syarikatnya, Asli Jati menggunakan kepala surat UMS selepas beliau memohon kepada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  – MalaysiaGazette