PETALING JAYA – Seorang lelaki yang berjaya membida barangan milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nur Sajat pada harga RM132,000 di kediamannya di Jalan Polo, Damansara, di sini, hari ini dipercayai menghilangkan diri.

Peguam Hafidzah Hassan dari NHA Advocates & Solicitors yang mewakili OWA Resources Sdn. Bhd. mengesahkan perkara itu menerusi Instagram miliknya.

Sebelum ini, peguam Zeti Zulkifli yang juga dari firma guaman sama memberitahu wartawan bahawa seorang pembida yang dikenali sebagai Che Muhammad Syazwan telah diberi masa untuk ke bank bagi menyelesaikan pembayaran secara tunai.

Namun, tinjauan Malaysia Gazette sehingga jam 4.30 petang mendapati lelaki itu masih tidak berjaya dikesan.

Justeru, Hafidzah berkata, lelongan akan dijadualkan semula pada minggu depan.

“Lelongan reschedule next week. Prepare (sediakan) RM5,000 untuk sertai bidaan dan datang on time (tepat pada masanya),” katanya dalam hantaran media sosial.

Sementara itu, wang deposit pembida itu sebanyak RM5,000 yang diletakkan sebagai pendaftaran sebelum dibenarkan masuk untuk memeriksa barangan di dalam rumah juga dianggap ‘hangus’.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan harta Muhammad Sajjad disita dan mengeluarkan perisytiharan jualan lelongan awam bagi menuntut pampasan berjumlah RM200,000 yang perlu dibayar kepada bekas stokis utamanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast