Kerajaan  Perak melalui agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif membantu golongan B40 yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan.- Gambar hiasan.

IPOH – Kerajaan  Perak melalui agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif membantu golongan B40 yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan.

Ia bagi meningkatkan semula pendapatan mereka, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, ia melibatkan khidmat nasihat kepada usahawan tanaman yang ingin berdaya saing di dalam sektor industri kecil sederhana (IKS) dan Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran Produk Makanan melalui bantuan peralatan dan mesin untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran dan kualiti produk hiliran usahawan.

Tambah beliau, inisiatif lain adalah penyediaan input makanan ternakan bagi meringankan bebanan penternak dalam kumpulan B40 di mana RM138,900 telah disalurkan di bawah program bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur.

“Selain itu, sebanyak RM521,883.50 di bawah bantuan Dasar Jaminan Makanan dan RM390,000 bagi peningkatan infrastruktur di bawah program Sinergi Akuakultur untuk dimanfaatkan oleh kumpulan terbabit.

“Melalui Program Dasar Jaminan Makanan (DJM) tahun 2021, sebanyak RM900,000 bantuan projek akuakultur berupa benih ikan, makanan ikan, sangkar dan tempat penyimpanan telah disalurkan dengan penglibatan sebanyak 19 myKP (komuniti perikanan) seluruh negeri Perak,” katanya ketika sesi soalan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Tarmizi Idris (BN-Kenering) yang ingin mengetahui langkah-langkah yang diambil bagi membantu golongan B40 terdiri dari petani, penternak dan nelayan dalam meningkatkan semula pendapatan mereka.

Saarani menambah, kerajaan negeri juga melaksanakan inisiatif menerusi melalui Program Pelepasan Benih Ikan Di Perairan bagi menambah stok ikan sedia ada di perairan umum di mana sebanyak RM150,000.00 telah diperuntukkan bagi pembekalan benih ikan.

Pada masa sama, jelas beliau, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM25,000 bagi pengeluaran benih ikan melalui pusat-pusat perikanan dan bekalan daripada hatceri swasta.

“Bagi meningkatkan semula pendapatan golongan B40 juga, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melaksanakan Projek Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 kepada nelayan melalui Program Tanaman Kontan semenjak tahun 2020.

“Bantuan yang diberikan kepada peserta adalah dalam bentuk input pertanian yang melibatkan tanaman seperti sayuran secara hidroponik, pisang, cili dan halia. Selain input pertanian, peserta juga telah diberi kursus berkaitan tanaman masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette