Tiga lelaki tempatan ditahan bersama  468.92 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas minuman keras bernilai RM49,049.03 dalam satu serbuan Op Kontraban di Kampung Teratai Bukit Serampang, Ledang, Tangkak, Johor pada awal pagi semalam.

Timbalan Komander (PPM) Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari PPM Wilayah Dua Johor itu dibantu PPM Wilayah Dua Muar kira-kira jam 2 pagi hasil daripada maklumat awam.

Katanya, dalam serbuan itu tiga lelaki berumur 18 hingga 32 tahun ditahan bersama 468.92 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam.

“Turut dirampas, peralatan untuk memproses arak dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut.

Minuman keras yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam juga dirampas.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM76,049.03. Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Noor Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Memperbaharui undang-undang (penghapusan samsu gelap).

Orang ramai yang mempunyai maklumat memngenai kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, pendatang asing tanpa izin boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian telefon 07 2372222. – Malaysiagazette