Pasangan suami isteri berusia 30-an diselamatkan selepas terperangkap di rumah sendiri apabila pintu bilik terkunci semasa membuang air kecil dalam kejadian di Kuala Selangor.Gambar Ihsan: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri melalui detik cemas apabila terperangkap dalam bilik rumah mereka selepas pintu terkunci ketika hendak membuang air kecil.

Pasangan berusia lingkungan 30-an itu terperangkap dalam bilik di rumah mereka di Taman Bayu Melawati, Kuala Selangor.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi yang meminta bantuan untuk pasangan suami isteri itu.

“Pintu rumah bilik itu terkunci dan hanya disedari oleh salah seorang pasangan tersebut semasa pergi ke tandas untuk membuang air kecil sebelum terperangkap di dalam selama 15 minit.

“Bomba yang bergegas ke lokasi kejadian menghulurkan bantuan selepas mendapat panggilan daripada bapa kepada pasangan suami itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Norazam berkata, bomba turut menerima panggilan kecemasan pada jam 4.39 petang semalam memaklumkan seorang kanak-kanak terperangkap di dalam kereta selepas pintu kenderaan itu terkunci secara automatik.

Kanak-kanak lelaki yang itu berusia 3 tahun itu terperangkap dalam kereta Perodua Axia selama 10 minit di Taman Bendahara, Kuala Selangor.

Anggota bomba terlibat dalam usaha mengeluarkan kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang terperangkap dalam kereta di luar rumah di Taman Bendahara, Kuala Selangor . Gambar Ihsan Bomba Selangor

“Semasa kejadian ibu bapa mangsa tiada di rumah dan sudah keluar untuk urusan keluarga.

“Pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan alat khas membuka pintu kereta itu dan mengeluarkan kanak-kanak yang selamat itu sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya. – MalaysiaGazette