SEBERANG PERAI – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh masjid dan surau Pulau Pinang berada pad tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan jemaah.
Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, ia terbukti apabila tiada sebarang kompaun dikeluarkan ke atas masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Kata beliau, pelbagai kelonggaran berkaitan aktiviti di masjid dan surau sudah diberikan kepada jemaah namun masih perlu mematuhi SOP ditetapkan.
“Kita tekankan pematuhan SOP yang tinggi agar keselamatan jemaah terjamin dan agama Islam turut menuntut menjaga nyawa manusia.
“Selain itu, seluruh masjid dan surau di negeri Pulau Pinang masih mempunyai ruang untuk menampung kapasiti jemaah sekali gus tidak timbul isu merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pemantapan Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Negeri Pulau Pinang di Hotel Exora, Seberang Jaya hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail mewakili Yang Dipetua Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Pada majlis itu, seramai 200 guru takmir dari enam daerah menghadiri majlis pemantapan guru takmir bagi peringkat negeri Pulau Pinang. – MalaysiaGazette