Toyota Yaris

KUALA LUMPUR – Kumpulan UMW mencatatkan sebanyak 28,785 unit jualan kenderaan pada November 2021.

UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, UMW Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan jualan baik selepas Perintah Kawaalan Pergerakan (PKP) Penuh dilonggarkan.

UMWT merekodkan jualan 8,486 unit pada November 2021, sama seperti jualan pada Oktober 2021.

Menurutnya, Toyota Vios terus menjadi model terlaris pada bulan lalu diikuti Yaris dan Hilux.

Setakat bulan lalu, UMWT merekodkan jualan 63,105 unit kenderaan, meningkat 26 peratus berbanding 50,074 unit yang didaftarkan pada tempoh sama tahun lalu.

“Jualan yang lebih baik ini dipacu oleh pengenalan model-model baharu dan pengecualian cukai,” katanya dalam kenyataan di sini.

UMWT, tambahnya akan melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid bulan ini, model pertama yang dipasang di sini dengan teknologi elektrik hibrid.

Dalam pada itu, Perodua pula mencatatkan 20,299 unit jualan pada tempoh yang sama, 27.1 peratus lebih rendah berbanding 27,858 unit pada Oktober 2021 disebabkan gangguan pengeluaran yang disebabkan oleh masalah rantaian bekalan.

Setakat 11 bulan tahun ini, Perodua telah menjual sejumlah 167,250 unit, 14.2% lebih rendah daripada 194,980 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Penurunan ini akibat pelaksanaan PKP Penuh dan kekurangan cip semikonduktor. – MalaysiaGazette