Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Polis Pahang menerima sebanyak 13 kes laporan kes buli dan pergaduhan termasuk melakukan kekerasan melibatkan 68 pelajar sekolah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada 13 kes tersebut 11 kes adalah satu kes buli dan satu kes pergaduhan di antara pelajar sekolah.

Katanya,  pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah kesalahan Kanun Keseksaan bagi kes-kes berkenaan dan para pelajar yang terlibat telah dikenalpasti dengan bantuan sekolah serta tindakan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Bagi 11 kes buli berkenaan, tujuh kes disiasat di bawah kesalahan gaduh gempar Seksyen 147/148 KK, tiga  kes di bawah kesalahan mencederakan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah kesalahan mendatangkan cedera parah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Keluarga pelajar yang terlibat memberikan kerjasama kepada sekolah serta polis agar pelajar yang terlibat menyedari kesalahan dan tidak mengulangi perbuatan sedemikian, katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, Polis Pahang menerima laporan kes buli membabitkan tiga sekolah bermula Disember lalu membabitkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Katanya, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior kerana menyalahguna telefon bimbit hingga mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan.

Laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Maran mendakwa dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama sehingga lebam pada bahagian perut.

Polis turut menerima laporan daripada seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah di Kuala Lipis mendakwa dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior kerana dituduh menghisap vape di asrama pada 10 Disember.

Kata Ramli, siasatan masih dijalankan.

Baru-baru ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang di sekolah di negeri ini.

Baginda bertitah kejadian buli yang didakwa di Rompin, Maran dan Lipis itu tidak seharusnya berlaku sama sekali serta menitahkan pihak terbabit khususnya Jabatan Pendidikan Pahang mengambil langkah segera untuk memastikan persekitaran sekolah selamat. – MalaysiaGazette