Datuk Seri Mazlan Lazim.

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menegaskan tiada ancaman serangan di Sabah sebaliknya dakwaan itu dimanipulasi pihak tertentu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penduduk Sabah dinasihatkan meneruskan kerja harian seperti biasa dan tidak perlu bimbang berhubung dakwaan tersebut.

Jelas beliau, pihaknya ada mendapat maklumat mengatakan ada perhimpunan kumpulan militan Sulu di Selatan Filipina berlangsung namun bukan berkaitan serangan seperti didakwa.

“Kita ada mendapat maklumat mengatakan memang ada perhimpunan mereka berbincang di Selatan Filipina tetapi perbincangan mereka ini lebih kepada hal ekonomi dan juga keselamatan setempat.

“Tiada isu berkait untuk menyerang Sabah seperti didakwa pihak tertentu. Jadi dakwaan itu tidak benar. Kita lihat perkara itu lebih kepada dimanipulasi pihak tertentu yang sengaja mahu mencetuskan kebimbangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Bagaimanapun, tambah Mazlan, polis sentiasa bersiap siaga berhadapan sebarang kemungkinan serangan daripada pihak militan itu.

“Kita ingin menasihati orang ramai jangan gusar, jangan bimbang dan teruskan perkerjaan harian dan kita berharap ia (serangan) tidak berlaku,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan sebuah akhbar antarabangsa mendakwa wujud rancangan rahsia kumpulan militan Sulu mahu menyerang Sabah berlangsuang di selatan Filipina. – MalaysiaGazette