The search and rescue team carrying the dead body of one of the illegal immigrants who drowned after their boat capsized in the waters of Tanjung Balau, Johor.
The search and rescue team carrying the dead body of one of the illegal immigrants who drowned after their boat capsized in the waters of Tanjung Balau, Johor. Pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat salah seorang mangsa karam di Pantai Tanjung Balau, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Bot pancung yang membawa 50 orang warganegara Indonesia yang karam sehingga menyebabkan 11 daripadanya meninggal dunia dipercayai dari Lombok, Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo AK Tusa berkata, kejadian berlaku pukul 4.30 pagi tadi di Tanjung Balau berpunca daripada cuaca buruk dan ombak kuat.

Kesemua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu dipercayai berhenti transit di Batam selepas bertolak dari Lombok bagi menaiki  bot pancung berkelajuan tinggi bagi memasuki perairan Johor.

Ketika kejadian difahamkan ketinggian ombak ketika itu antara 3.7 hingga 4.5 meter.

“Menerusi maklumat diperoleh daripada 14 mangsa yang terselamat, mereka  dari Lombok. Bot pancung laju itu biasanya hanya mengambil masa 15 minit dari Batam sebelum tiba ke perairan Johor Timur di Kota Tinggi.

“Berdasarkan kes sebelum ini, kita percaya bot pancung berkenaan memasuki perairan negara kita kira-kira pukul 1 pagi tadi dalam keadaan cuaca buruk.

“Ini adalah kes pertama membabitkan kemasukan PATI dari Lombok di kawasan Johor Timur kerana kes sebelum ini semua membabitkan PATI yang tinggal sekitar di Kepulauan Batam sahaja,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau hari ini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Rejimen ke-7 Artileri Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Mohamed Ridzal Radzuan.

Menurut Simon, hasil siasatan mendapati bot pancung dinaiki mangsa terbalik akibat dipukul ombak kuat.

Katanya juga, seramai 14 orang telah dijumpai selamat, 11  telah meninggal dunia manakala 25 lagi masih belum ditemui.

“Tujuh daripadanya merupakan lelaki dan 11 wanita berusia 20 hingga 50 tahun sementara seorang lelaki dikatakan kritikal kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan selanjutnya.

“Operasi carilamat dimulakan sejak 8 pagi tadi dan kita belum putuskan sehingga bila kita akan lakukan operasi ini. Kita lihat situasinya dahulu,” katanya.

Ditanya status 25 PATI yang masih hilang, Simon memberitahu, pihaknya tidak dapat memutuskan lagi kerana ia bergantung kepada keadaan dan tempoh operasi yang dijangka mengambil masa  empat sehingga 10 hari.

“Saya tidak boleh sahkan lagi sama ada mereka ini sempat lari atau sebaliknya kerana kita belum dapat membuat siasatan terperinci ke atas 14 lagi yang selamat.

Seramai 159 anggota termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan  Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  negeri terlibat dalam operasi menyelamat.- MalaysiaGazette

 

Bot bawa PATI karam,10 meninggal dunia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast