Pihak berkuasa memeriksaan sijil kesihatan orang ramai di Rom. foto Reuters

ROM – Kerajaan Itali meluluskan dikri yang melanjutkan darurat negara berikutan pandemik koronavirus selama tiga bulan lagi.

Menjelang tarikh akhir darurat pada 31 Disember ini, Itali melanjutkan pengisytiharan itu sehingga 31 Mac 2022.

Dikri itu membolehkan kerajaan pusat mengekalkan sekatan anti-virus bagi membendung gelombang pandemik keempat semasa cuti Krismas dan Tahun Baru.

Antara peraturan yang ditetapkan ialah penggunaan mandatori ‘super green pass’ dari 6 Disember hingga 15 Januari untuk akses tempat awam seperti restoran dan bar, pawagam, gimnasium, kelab malam dan stadium.

Sijil itu membuktikan individu sudah divaksinasi dan pulih daripada jangkitan koronavirus dalam tempoh enam bulan lalu.

Individu yang tidak divaksinasi masih perlu menunjukkan pas hijau “biasa” (termasuk bukti ujian negatif Covid-19) untuk mengakses mana-mana tempat lain dan untuk menggunakan pengangkutan tempatan.

Menurut perundangan Itali, keadaan darurat membolehkan Kabinet menggubal undang-undang dan bertindak lebih cepat, mengelakkan prosedur birokrasi yang panjang, tetapi hanya dalam sektor yang berkaitan dengan kecemasan. – Xinhua